Tuesday, April 6, 2010

Berbanggalah dengan tulisan jawi

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika melancarkan wajah baru akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan meminta Kementerian Pelajaran memperluaskan aktiviti penulisan jawi di sekolah-sekolah bagi meningkatkan dan membudayakan penggunaan tulisan itu.

Walaupun Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain yang dikenali sebagai j-QAF di sekolah-sekolah, namun usaha menjalankan aktiviti bagi membudayakan tulisan jawi di kalangan pelajar masih perlu ditingkatkan.

Sebagai seni warisan bangsa Melayu dan mempunyai sejarah tersendiri, tulisan jawi boleh dipaparkan di mana-mana saja. Justeru, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu menghormati tulisan jawi yang menjadi warisan tamadun Melayu sejak abad ke-12.

Langkah menggemilangkan kembali tulisan jawi perlu dibuat agar ia tidak terus terkubur. Tambahan pula, majoriti generasi muda hari ini tidak dapat menguasai tulisan jawi, malah ada yang tidak ambil peduli mengenai tulisan tersebut.

Alangkah baiknya jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menambah baik usaha-usaha memartabatkan tulisan jawi dengan menubuhkan satu majlis tindakan bagi mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan jawi. Ia boleh diselenggarakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sekretariatnya.

Majlis tindakan seperti itu cukup penting bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak untuk menyusun satu pelan tindakan jangka panjang demi mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan jawi khusus untuk semua kaum.

Apa yang kita lihat sekarang adalah kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Memahami tulisan jawi terus terhakis dari generasi ke generasi. Jika senario itu berterusan, lambat laun tulisan jawi mungkin terkubur dan hanya dikenali dalam lipatan sejarah.

Tulisan jawi mengalami proses 'dikuburkan' kerana masyarakat menganggap ia kurang nilai-nilai komersial walaupun dahulu ia adalah tulisan rasmi dalam segala urusan. Senario yang sama juga bakal terjadi kepada bahasa Melayu jika tiada tindakan konkrit diambil.

Penerbitan Utusan Melayu dalam edisi jawi wajar dimanfaatkan sepenuhnya di sekolah sebagai medium pembelajaran. Pendekatan lebih kreatif perlu digunakan bagi menimbulkan minat generasi muda. Teknologi terkini boleh dimanfaatkan seperti mewujudkan CD interaktif dan laman web dalam tulisan jawi.

Tulisan jawi juga perlu diperluaskan kepada mata pelajaran khusus dan tidak semata-mata dimasukkan ke dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Pertandingan-pertandingan mengasah bakat serta kemahiran yang ada hubungkait dengan tulisan jawi perlu diperluaskan dan diangkat sebagai pertandingan berprestij di peringkat negara dan nusantara.

Anggapan bahawa tulisan jawi adalah semata-mata tulisan untuk unsur-unsur keagamaan mesti dihapuskan. Ini kerana tulisan jawi dahulu telah digunakan dengan meluas oleh semua kaum.

Sehingga kini, masih terdapat bangsa India dan Cina yang berkemahiran membaca dan menulis dalam tulisan jawi.

Selain itu, media cetak seperti suratkhabar utama negara juga wajar mewujudkan satu muka penuh berita-berita yang ditulis dalam tulisan jawi secara tetap atau berkala.

Saturday, March 13, 2010

Nasi Beriani Gam

(hidangan lebih lima orang)

Bahannya:
2 kilogram beras basmati
100 gram bawang merah - dihiris
50 gram bawang putih - dihiris
50 gram halia - dihiris
1/2 tin susu cair
Empat sekawan - bunga lawang, cengkih, jintan dan kayu manis
1 biji tomato - dipotong empat
2 tangkai cili merah - belah dua
2 tangkai cili hijau - belah dua
5 gram daun sup atau daun bawang - potong 1 1/2 inci
3 gram daun ketumbar
Bahan perasa secukupnya


Cara memasak:
Masak nasi hanya selepas daging siap dimasak
1. Basuh beras, masukkan ke dalam periuk nasi bersama semua bahan yang dinyatakan.
2. Tanak nasi menggunakan periuk memasak elektrik. Apabila nasi kering, ambil sedikit minyak daripada kuah beriani dan siram sedikit ke atas nasi tadi.
3. Biarkan nasi itu dalam periuk seketika iaitu kira-kira lima minit, kemudian hidangkan bersama dalca, pajeri serta papadom.

Daging beriani:
1 kilogram daging - potong 10 ketulan
20 gram rempah beriani - campur sedikit air
1/2 cawan pes tomato
1/2 cawan sos tomato
50 gram bawang goreng
4 sekawan - bunga lawang, cengkih, kayu manis dan buah pelaga
50 gram bawang merah - dikisar
20 gram bawang putih - dikisar
20 gram halia - dikisar
3 gram daun pudina - dikisar
3 gram daun ketumbar - dikisar
1/2 cawan minyak sapi
50 gram biji gajus goreng - ditumbuk kasar
50 gram kismis
Bahan perasa secukupnya

Cara memasak:

1. Masukkan daging ke dalam periuk bersama bahan yang sudah dikisar serta rempah, pes tomato, sos tomato, minyak sapi, daun pudina, ketumbar dan empat sekawan.

2. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih dan masukkan biji gajus dan kismis ke dalamnya.

3. Didih dengan api pelahan sehingga daging itu empuk dan tambah bahan perasa.

------------

Keenakan nasi beriani gam memang tidak dinafikan, malah ia antara makanan yang mendapat perhatian pada majlis hebat seperti perkahwinan atau perayaan.

Beriani gam turut menjadi sajian istimewa Hotel Residence@Universit i Tenaga Nasional di Jalan Kajang-Puchong, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Chef masakan Melayunya, Chef Ismail Ahmad berkongsi rahsia untuk menyedapkan nasi beriani berkenaan:

# Antara yang penting, beras mestilah berbau wangi dan cantik. Pilih basmati yang perlu dibasuh terlebih dulu sebelum direndam selama setengah jam.


# Bagi membolehkan daging lebih enak dan empuk, perap daging dengan rempah ratus dihasilkan sendiri selama setengah jam.

# Masak dalam api perlahan antara satu hingga dua jam supaya daging benar-benar empuk.

# Antara punca daging tidak menepati cita rasa adalah ia dimasak terlalu cepat dengan api tidak terkawal.

Untuk maklumat lanjut, layari www.residenceatunit en.com atau www.seripacific. com.

Friday, March 12, 2010

Asam Pedas Melaka

Bahan:
Segenggam cili kering
2.5 sentimeter belacan
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Seketul kunyit hidup
Seketul halia
1 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
Air asam jawa (mengikut jenis ikan)

Cara membuatnya:

Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup, belacan dan jintan dan ketumbar. Tumis hingga garing. Tambah air asam jawa. Biar mendidih, masukkan ikan. Biar mereneh perlahan. Tambah daun kesum. Biarkan sekejap, angkat dan masukkan garam, perisa dan gula secukup rasa.

Mee Bandung Muar

Bahan-bahan :
Mi kuning - dicelur dan ditos.
200 gm keledek
100gm udang kering
3 sudu cili kering yang telah dikisar
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Sedikit udang
Gula
Garam
Sebiji telur
Serbuk perasa

Cara membuat:
1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih. Ini diikuti dengan cili kering.
2. Setelah garing, masukkan udang kering.
3. Masukkan air secukupnya dan biarkan sehingga mendidih.
4. Selepas itu masukkan keledek dan udang. Kacau.
5. Perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa.
6. Kuah harus dikacau sentiasa hingga masak.
7. Pecahkan telur dan tunggu ia masak. Kemudian tuangkan kuah ke atas mi kuning.

Resepi Gulai Daging Salai

BAHAN-BAHAN:
1 kg daging salai
250 gm cili padi
5 cm kunyit hidup
3 batang serai
500 gm santan
5 keping asam gelugur
300 gm terung telunjuk
5 tangkai cili hijau (belah dua)

CARA MENYEDIAKAN:

1. Daging dipotong nipis-nipis.
2. Cili padi dan kunyit dikisar halus.
3. Jerangkan periuk dan masukkan daging, cili, serai, asam gelugur. Didihkan sehingga daging empuk.
4. Masukkan santan, garam, terung dan cili hijau.
5. Masukkan garam secukup rasa.
6. Angkat dan hidangkan

Resepi (Mee) Mi Udang

Bahan-bahan :
1 peket mi kuning
10 ekor udang
3 biji bawang merah
½ inci belacan
3 ulas bawang putih
2 sudu cili kering
Sedikit sos cili
Sedikit sos tomato
Sawi
Tauge
Daun bawang
Minyak secukupnya

Cara membuat:
1. Panaskan minyak kemudian tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
2. Selepas itu masukkan air rebusan udang.
3. Masukkan sos cili, sos tomato, garam dan serbuk perasa.
4. Setelah sebati masukkan mi kuning dan udang. Kacau seketika.
5. Akhir sekali, angkat dan boleh hiaskan dengan sawi, tauge dan hirisan daun bawang.

Wednesday, February 24, 2010

Resepi Sos Yong Tau Foo

Sos Hitam
Bahan-bahan:

200 g taucu hitam (dikisar)
1 cawan air
1/2 cawan kicap pekat
1 sudu makan minyak masak
1/2 sudu makan tepung jagung (dicampur bersama sedikit air)
gula secukup rasa

Cara menyediakan:

1. Panaskan minyak, masukkan taucu kisar & tumis sekejap.
2. Masukkan air, kacau seketika & biarkan mendidih
3. Masukkan kicap dan kacau
4. Masukkan gula & pekatkan sos dgn campuran tepung jagung tadi.

Sos Pedas
Bahan-bahan:

20 biji cili merah (dibuang biji & dikisar)
1 cawan air
2 sudu makan bijan
2 sudu makan kacang tanah (digoreng tanpa minyak & ditumbuk)
1 sudu makan tepung jagung (dicampur bersama sedikit air)
garam, gula & cuka secukup rasa
2 sudu makan sos plum

Cara menyediakan:
1. Masak air hingga mendidih.
2. Masukkan cili, kacau sekejap & biar hingga cili masak.
3. Masukkan cuka, sos plum, garam & gula secukup rasa.
4. Masukkan campuran tepung jagung.
5. Akhir sekali, tabur bijan & kacang tanah ke dalam sos.

Sup Yong Tau Foo
Bahan-bahan:

2 cawan air
1 kiub ayam
Bebola/fishcake (bahan-bahan yong tau foo)
Garam & gula secukup rasa

Cara menyediakan:
1. Didihkan air.
2. Masukkan kiub ayam maggi & kacau hingga larut.
3. Masukkan bebola/fishcake & masak hingga timbul.
4. Keluarkan bebola/fishcake.
5. Masukkan garam & gula secukup rasa.



sumber:
http://www.resepionline.co.cc

Tuesday, February 23, 2010

KERTAS KERJA PROGRAM / MAULIDUR RASUL

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT SEKOLAH SKSR 1431 H / 2010 M

A. LATAR BELAKANG

Bersempena kelahiran junjungan besar nabi Muhammad SAW, yang telah mencorakkan perubahan yang besar dalam kehidupan masyarakat arab khususnya dan masyarakat dunia umumnya, dari diselubungi kegelapan kepada cahaya yang terang, gilang gemilang. Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah daripada perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w). Begitu juga perasaan taat, ingat, ingin mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda, sebagaimana Allah bangga terhadap baginda dengan memuji baginda didalam Al-Quran: "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah ini merupakan aktiviti tahunan yang diadakan diperingkat sekolah. Pada tahun ini majlis ini akan diadakan pada 05 Mac 2010 bersamaan 19 Rabiulawal 1431H. Majlis ini akan muatkan dengan aktiviti yang agak sederhana tetapi melibatkan semua guru dan pelajar muslim bertepatan dengan temanya pada kali ini iaitu “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah”. Pelaksanaan majlis ini bertujuan untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. di samping menghayati sirah hidup baginda. Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada murid-murid supaya mencontohi akhlak dan budi pekerti mulia yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W.


B. OBJEKTIF

1. Menilai dan menghargai pengorbanan rasul junjungan dalam menyebarkan agama Islam.
2. Murid dapat mengetahui dan menghayati perjalanan sirah nabi Muhammad Rasullah SAW
3. Murid dapat mengamalkan akhlak dan keperibadian Rasullah SAW
4. Murid dapat mencontohi sikap dan teladan yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW.


C. SASARAN

Semua guru dan pelajar muslim SK Slim River

Sunday, January 3, 2010

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan

Oleh Mohamad Sofee Razak

TULISAN Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung dimainkan tulisan Jawi sebenarnya bermula sejak ia menjadi penyebar maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun lalu. Cuma kebelakangan ini tulisan Jawi diketepikan peranan dan kehebatannya.

Kehadiran kitab Jawi muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain dan kemunculan ulama legenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi serta ramai lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

Masyarakat hari ini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan Jawi perlu dilaksanakan kerana kaitannya dengan bahasa al-Quran (Arab).

Bahasa Melayu berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya.

Menurut Azizi Abdullah (2006), daripada perspektif sejarah, tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk mengganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan pada awal kemasukan Islam.

Bukti kemasukan itu ialah pada batu nesan makam Sheikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada batu bersurat di Terengganu dan diikuti penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

Pejuang tulisan Jawi yang bertanggungjawab memberi nafas baru terhadap tulisan itu ialah ikon umat Melayu iaitu Pendita Za'ba yang mengumpulkan perkataan Melayu sejak 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar.

Hasilnya pada 1931, Za'ba menulis buku Rahsia Tulisan Jawi untuk warisan umat Melayu dan ternyata beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya zaman Kerajaan Melaka pada awal abad ke-15.

Peranan tulisan Jawi berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan. Perjanjian penting antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi.

Perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Tulisan Jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu.

Kita perlu kewibawaan tulisan jawi asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama, nadi dan jantung maklumat di negara kita.

Program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah rendah di seluruh negara sejak 2005 adalah berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung itu dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan Jawi sejak sekian lama.

Semoga inisiatif bijak kerajaan menjadi pemangkin perkembangan dan kelangsungan tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini. Tulisan Jawi sudah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan intelektual Nusantara yang diakui sarjana tempatan dan Orientalis Barat.

Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan Jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, perpustakaan, parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan inisiatif murni ini.

Usaha dan tindakan itu bukanlah komitmen berbentuk sementara atau bermusim tetapi berterusan. Jutawan Melayu harus menggembleng tenaga dan dana menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan Jawi di negara kita.

Diharapkan tulisan Jawi akan terus menjadi medan serta wadah perbincangan intelektual dan penggabungan idea serta minda umat Islam dan bukan Islam. Tulisan Jawi juga harus bersedia bersaing dengan tulisan perdana lain dan tidaklah hanya sekadar menjadi tulisan satu bangsa saja.

Tulisan Jawi perlu bangkit dan gemilang seperti dulu kerana tulisan Jawi adalah satu-satu warisan tulisan umat Melayu yang mengangkat wibawa umat di ufuk persada intelektual dan umpama nyawa serta aset warisan terunggul milikan umat Melayu di rantau ini.