Sunday, January 3, 2010

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan

Oleh Mohamad Sofee Razak

TULISAN Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung dimainkan tulisan Jawi sebenarnya bermula sejak ia menjadi penyebar maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun lalu. Cuma kebelakangan ini tulisan Jawi diketepikan peranan dan kehebatannya.

Kehadiran kitab Jawi muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain dan kemunculan ulama legenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi serta ramai lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

Masyarakat hari ini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan Jawi perlu dilaksanakan kerana kaitannya dengan bahasa al-Quran (Arab).

Bahasa Melayu berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya.

Menurut Azizi Abdullah (2006), daripada perspektif sejarah, tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk mengganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan pada awal kemasukan Islam.

Bukti kemasukan itu ialah pada batu nesan makam Sheikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada batu bersurat di Terengganu dan diikuti penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

Pejuang tulisan Jawi yang bertanggungjawab memberi nafas baru terhadap tulisan itu ialah ikon umat Melayu iaitu Pendita Za'ba yang mengumpulkan perkataan Melayu sejak 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar.

Hasilnya pada 1931, Za'ba menulis buku Rahsia Tulisan Jawi untuk warisan umat Melayu dan ternyata beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya zaman Kerajaan Melaka pada awal abad ke-15.

Peranan tulisan Jawi berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan. Perjanjian penting antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi.

Perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Tulisan Jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu.

Kita perlu kewibawaan tulisan jawi asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama, nadi dan jantung maklumat di negara kita.

Program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah rendah di seluruh negara sejak 2005 adalah berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung itu dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan Jawi sejak sekian lama.

Semoga inisiatif bijak kerajaan menjadi pemangkin perkembangan dan kelangsungan tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini. Tulisan Jawi sudah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan intelektual Nusantara yang diakui sarjana tempatan dan Orientalis Barat.

Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan Jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, perpustakaan, parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan inisiatif murni ini.

Usaha dan tindakan itu bukanlah komitmen berbentuk sementara atau bermusim tetapi berterusan. Jutawan Melayu harus menggembleng tenaga dan dana menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan Jawi di negara kita.

Diharapkan tulisan Jawi akan terus menjadi medan serta wadah perbincangan intelektual dan penggabungan idea serta minda umat Islam dan bukan Islam. Tulisan Jawi juga harus bersedia bersaing dengan tulisan perdana lain dan tidaklah hanya sekadar menjadi tulisan satu bangsa saja.

Tulisan Jawi perlu bangkit dan gemilang seperti dulu kerana tulisan Jawi adalah satu-satu warisan tulisan umat Melayu yang mengangkat wibawa umat di ufuk persada intelektual dan umpama nyawa serta aset warisan terunggul milikan umat Melayu di rantau ini.

0 comments: